Beri peluang kepada Tun Hanif ketuai panel – Sinar Harian

Posted: 11/05/2012 in Artikel

Beri peluang kepada Tun Hanif ketuai panel Oleh: Asrul Muniff Azizan Tarikh: May 10, 2012

KALI terakhir saya berjumpa dengan Tun Hanif Omar adalahpada 13 Mac 2012. Kami berjumpa secara kebetulan iaitu di KLIA. Selepas selesai urusan daftar masuk dan bagasi maka saya ingin menikmati coklat panas terlebih dahulu sebelum mengharungi tempoh penerbangan yang panjang. Maka saya memulakan langkah ke Secret Recipe berhampiran dengan pintu perlepasan antarabangsa. Darijauh saya nampak beliau duduk berseorangan sambil menikmati minuman. Sebagai orang yang lebih muda, maka saya menyapa beliau dahulu dan duduk disebelah meja beliau.

Beliau sedang menunggu untuk masuk ke balai berlepas. Jam pada ketika itu adalah 9.25 malam. Beliau agak terkejut kerana saya mengenali beliau dan lantas saya bertanya ke mana destinasi beliau. Beliau dijemput untuk memberikan syarahan di sebuah universiti terkemuka di United Kingdom.Saya juga ditanyakan soalan yang sama. Destinasi saya ialah Berlin dan transit di Amsterdam. Saya ke berlin atas urusan perniagaan. Beliau menyatakan sewaktu zaman beliau muda dahulu tak banyak orang muda yang berniaga. Zaman sekarang muda–muda lagi dah jadi jutawan. Saya balas balik pada beliau bahawa bukan mudah untuk orang yang kulit sawo matang macam kita ni untuk dijemput memberi syarahan di universiti tersebut. Kedua-duanya tersenyum.

Kemudian kami mula berborak kosong. Macam-macam topik yang kami sembangkan. Saya sudah tentu menggunakan kesempatan ini untuk bertanyakan soalan-soalan yang berkisar tentang pengalaman beliau ketika menjadi Ketua Polis Negara dahulu. Banyak juga informasi yang saya dapat. Kami bertukar–tukar pendapat, ada pendapat beliau yang saya setuju dan sebaliknya.Banyak juga pendapat saya yang beliau tidak setuju. Secara keseluruhannya banyak cerita baru yang saya dapat. Saya juga faham bagaimana tugas polis secara lebih menyeluruh. Hampir sejam juga kami berborak kosong sehingga saya terpaksa meminta diri kerana penerbangan saya bertolak pada pukul 11.45 malam manakala penerbangan beliau bertolak pada jam 12.05 tengah malam.

Kesimpulanya, seperti yang kita sedia maklum, Tun Hanif Omar telah dilantik sebagai Pengerusi Panel Penasihat Bebas bagi mendapatkan gambaran sebenar berkenaan dengan perhimpunan Bersih 3.0. Sebagai seorang yang berpengalaman selama hampir 20 tahun sebagai Ketua Polis Negara, saya yakin beliau akan dapat mengemudikan panel tersebut dengan berkesan dan efektif.

Pengalaman beliau sewaktu mengetuai pasukan polis menjaga negara di zaman komunis sudah tentu dapat dimanfaatkan. Panel ini juga mungkin boleh mencadangkan kepada kerajaan bagaimana untuk menangani ‘ideologikomunis moden’ yang meresap di dalam perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.

Akhir sekali, saya dan Tun berkongsi tabiat yang sama sebagai mantan pegawai kerajaan (walaupun saya hanya berkhidmat selama 20 bulan sahaja sebagai pegawai kerajaan). Kami memang suka sampai di lapangan terbangawal dan tidak suka terburu–buru untuk menaiki kapal terbang.

Asrul Muniff Azizan, Presiden Pertubuhan Anak Muda Melayu Malaysia

Leave a comment